Saturday, December 12, 2009

Najib saran kod etika ber"blog"



Datuk Seri Najib Razak berkata beliau sentiasa mengatakan media baru atau Internet memainkan peranan penting kepada masa depan politik dan sivil rakyat negara ini.

Perdana menteri berkata medium itu penting bagi kebenaran didedahkan melalui laporan yang bertanggungjawab.

"Oleh sebab itu saya amat berminat bila mendapati ada satu Kod Etika Penulis Blog yang mungkin boleh diterima pakai oleh para penerbit," kata beliau dalam blognya www.1malaysia.com.my semalam.

Disiarkan dalam laman berita internet, garis panduan untuk penulis blog itu didasarkan kepada kod etika Persatuan Wartawan Profesional yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Berikut adalah beberapa petikan bahawa penulis blog hendaklah:

- Jujur dan adil dalam mendapatkan, melapor dan menginterpretasi maklumat,
- Jangan sekali-sekali menciplak,
- Mengenal pasti dan membuat pautan pada sumber apabila sesuai dan boleh dilaksanakan,
- Jangan sekali-kali menyiarkan maklumat yang diketahui tidak tepat dan jika menyiarkan maklumat yang boleh dipersoalkan, pastikan dijelaskan akan keraguan tentang maklumat tersebut,
- Bezakan antara sokongan, komentar dan maklumat berdasarkan fakta,
- Mengakui akan kesilapan dan membetulkannya dengan segera,
- Perlihatkan cita rasa yang baik. Elakkan daripada memenuhi kehendak rasa ingin tahu yang mengerikan atau sensasi,
- Jelaskan setiap misi blog dan alu-alukan dialog dengan khalayak ramai tentang kandungan dan cara pengendaliannya oleh penulis blog,
- Mendedahkan pertentangan kepentingan, penggabungan, aktiviti dan agenda peribadi,
- Mematuhi piawaian yang tinggi yang sama seperti mana yang mereka harapkan daripada pihak lain.

Najib berkata beliau mendapati piawaian seperti itu amat penting ke arah membina satu dialog yang dihormati serta produktif dan akan berusaha untuk patuh kepada piawaian itu sedapat mungkin. BERNAMA






Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

No comments:

Post a Comment