Wednesday, December 30, 2009

Wanita ketakutan, nat logam terjatuh di dalam badan


Seorang wanita kini hidup dalam ketakutan apabila sebiji nat berukuran 0.5 sm tertinggal dalam badannya semasa dia menjalani pembedahan keretakan tulang belakangnya tahun lepas.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata wanita berusia 29 tahun itu yang merupakan seorang pereka dalaman, menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta menggunakan teknik implan logam yang disokong dengan nat selepas terlibat dalam satu kemalangan Oktober tahun lepas.

"Selepas pembedahan, wanita itu diberitahu bahawa nat itu secara tidak sengaja telah terjatuh ke dalam bahagian tubuh yang dibedah, dan doktor lelaki yang menjalankan pembedahan itu memberi jaminan nat itu tidak berbahaya kepada kesihatannya dan akan dikeluarkan serentak dengan implan logam itu setahun kemudian tanpa sebarang kesan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun pada Oktober lepas, sebelum menjalani pembedahan itu, pakar bedah itu memberitahu wanita berkenaan bahawa nat yang telah bergerak itu kini tidak boleh dikeluarkan kerana telah berada berhampiran saluran darah, kata Chong.

Katanya, pembedahan itu hanya dapat mengeluarkan implan logam dan tidak berjaya mengeluarkan nat yang telah terjatuh itu.

Terkejut dengan berita itu, wanita itu mahu doktor itu membedahnya segera untuk mengelak sebarang komplikasi atau masalah lain, namun doktor itu berkata beliau tidak boleh berbuat apa-apa, katanya.

Chong berkata wanita itu juga diminta membayar untuk menjalani pembedahan yang didakwa disebabkan kecuaian doktor itu sendiri.

"Wanita ini turut dicabar supaya mencari peguam jika masih tidak berpuas hati," katanya.

Katanya, selepas menjalani satu imbasan baru-baru ini, wanita itu dinasihatkan supaya segera menjalani pembedahan dan ini dijadual dijalankan esok.

Chong berkata pihaknya akan menunggu hasil daripada pembedahan itu untuk tindakan seterusnya termasuk menggunakan saluran undang-undang terhadap doktor yang didakwa cuai semasa pembedahan awal. BERNAMA







Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

10 maut: Pemandu bas ekspres ke mahkamah


Seorang pemandu bas Sani Express hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Trafik Ipoh atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian 10 penumpang di Km 280.3 Lebuhraya Utara Selatan di Ipoh, Sabtu lalu.

Mohd Kamil Mohd Rashid, 37, beralamat Taman Setia Jaya, Yan, Kedah, yang memandu bas dua tingkat dengan nombor pendaftaran WSX 5010, didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira pukul 1.23 pagi, 26 Dis lalu.

Tertuduh didakwa bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu itu, pada pukul 11.30 pagi tadi, polis mendapat perintah melanjutkan tempoh reman sehingga Khamis ini.

Bagaimanapun, pada pukul 1 tengah hari, pihak media dimaklumkan bahawa tertuduh akan didakwa pada 2.30 petang hari ini.

Mohd Kamil, yang memakai kemeja syarikat bas berwarna merah dan berseluar gelap, tiba di mahkamah pada 2.10 petang. Beliau kelihatan tenang apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya dan memohon kepada mahkamah untuk dibicarakan.

Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Feb depan sebagai tarikh perbicaraan.

"Ini adalah berdasarkan kepentingan awam dan lain-lain faktor. Lesen memandu tertuduh juga dirampas serta-merta sehingga kes selesai," katanya.

Sebelum itu, timbalan pendakwa raya Nurul Izalina Rajaai memohon ikat jamin RM15,000 berdasarkan faktor kepentingan awam dan lesen memandu tertuduh digantung.

Peguam tertuduh, S Arumugam dan Khairun Niza Husnin, memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu dengan alasan anak guamnya tidak pernah melakukan kesalahan trafik dan mempunyai enam orang tanggungan iaitu ibu bapa, seorang isteri dan tiga anak kecil berusia antara enam bulan dan sembilan tahun.

Mohd Kamil kemudian dibebaskan kira-kira 5 petang tadi apabila dua wakil syarikat berkenaan membayar wang jaminan tersebut. BERNAMA








Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

Tuesday, December 29, 2009

Kes liwat: Rakan Anwar gagal padamkan penghakiman



Dr Munawar Ahmad Anees, bekas penulis ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, gagal dalam cubaannya supaya dipadamkan sebahagian daripada penghakiman Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat membabitkannya.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Raus Md Sharif, sebulat suara bersetuju menolak permohonan supaya diadakan semakan semula untuk membenarkan rayuannya bertarikh 17 Disember 2008 terhadap pensabitan dan hukuman penjara enam bulan berhubung kes liwat itu.

Munawar dan peguamnya Manjeet Singh Dhillon tidak hadir di mahkamah hari ini, manakala timbalan pendakwa raya Awang Armadajaya Awang Mahmud merupakan satu-satunya pihak yang hadir.

Ketika membacakan penghakiman setebal 15 muka surat, hakim Raus berkata, mahkamah mendapati perenggan 20 hingga 26 dalam penghakiman sebelum ini bukanlah sesuatu yang direka.

"Adalah jelas bahawa apa yang dinyatakan oleh mahkamah ini dalam perenggan 20 hingga 26 ada kaitan dengan sesuatu yang dihujah oleh semua pihak.

"Oleh itu, tidak ada apa salahnya bagi mahkamah ini untuk memberikan pendapatnya berhubung persoalan yang dibentangkan di hadapannya," kata Hakim Raus.

Dalam kes ini, katanya, mahkamah tidak nampak sebarang sebab untuk menggunakan kuasanya bagi menyemak semula keputusannya sendiri.

Beliau berkata hanya dalam kes-kes terhad dan luar biasa, mahkamah mempunyai kuasa untuk menyemak semula keputusannya umpamanya jika keputusan itu dibuat berasaskan penipuan atau penyembunyian keterangan penting.

"Dalam kes ini, tidak berlaku perkara seperti yang disebut di atas," katanya.

Munawar, 61, telah menjalani hukuman penjara enam bulan pada 1998 selepas beliau mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen kerana membenarkan Anwar meliwatnya di rumah Anwar di Jalan Setia Murni di Bukit Damansara pada Mac 1993.

Beliau kemudian mencabar keputusan mahkamah itu bagi membersihkan namanya, dengan mendakwa dia dipujuk supaya mengaku bersalah terhadap tuduhan itu. BERNAMA






Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

BN dicadang tukar logo dacing



Bekas ketua menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mencadangakan agar BN merintis usaha penjenamaan semula termasuk memperkenalkan logo baru yang lebih menarik serta mempunyai ciri-ciri dan pengertian gagasan 1Malaysia.

Dalam proses penjenamaan semula itu untuk mendekatkannya dengan hati rakyat, Barisan Nasional hanya perlu "dipasarkan" dengan singkatan BN saja, katanya dalam laman webnya www.keruak.com.

Salleh, yang juga timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, berkata penjenamaan BN itu amat penting kerana dalam suasana politik sekarang, rakyat sudah mempunyai pilihan, iaitu satu komponen BN dan satu lagi Pakatan Rakyat.

Untuk memastikan BN terus unggul dan relevan, beliau juga mencadangkan agar ia mewujudkan sistem keahlian secara terus.

"Menerusi kaedah baru ini, mereka yang komited atau minat dengan BN dan dasar serta pemimpinnya, tetapi tidak menyukai parti-parti komponen tertentu kerana terlalu banyak politiking, akan dapat terus bersama kita," kata Salleh.

Namun, katanya, cadangan itu memerlukan perincian lanjut dengan mengambil kira sistem dan perlembagaan dalam BN. BERNAMA






Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

Tuesday, December 22, 2009

Skandal TUDM:Bukan satu, tetapi dua enjin pesawat tempur 'hilang'!



Sebuah lagi enjin pesawat tempur F-5E TUDM hilang pada 2007

KUALA LUMPUR: Bukan satu tetapi dua enjin pesawat tempur, F-5E, milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang, masing-masing berharga RM50 juta, apabila sebuah lagi dipercayai hilang lima bulan selepas kehilangan enjin pertama.

Enjin yang kedua hilang ketika menunggu untuk diselenggarakan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, dua tahun lalu dan disedari pada Mei 2008. Laporan polis dibuat tiga bulan kemudian.

Kejadian dipercayai berlaku pada 1 November 2007, ketika enjin berkenaan dibawa keluar dari Skuadron Ke-12 Scorpion Butterworth, yang menempatkan pangkalan operasi pesawat berkenaan untuk penyelenggaraan rutin di ibu negara. Sumber memberitahu Berita Harian, penghantaran enjin kedua menggunakan kontena dikendalikan sebuah syarikat penyelenggaraan pesawat tentera dilantik kerajaan tetapi enjin berkenaan tidak tiba ke destinasinya.

Katanya, kehilangan kedua-dua enjin itu dipercayai didalangi kumpulan sama membabitkan orang dalam syarikat penyelenggara terbabit dengan bantuan orang dalam TUDM.

Sementara itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika dihubungi, berkata pihaknya akan memulangkan semula fail siasatan kes berkenaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berikutan siasatan yang tidak lengkap termasuk ketiadaan butiran enjin termasuk jenis dan spesifikasinya.

Siasatan itu dikembalikan semula ke Bukit Aman bersama arahan terbaru, termasuk menyiasat kemungkinan pembabitan pihak lain, termasuk agensi kerajaan dalam kehilangan enjin berkenaan.

"Siasatan lebih mendalam, dengan butiran lebih terperinci amatlah diperlukan dalam pengendalian kes ini," kata Abdul Ghani.

Sabtu lalu Berita Harian mendedahkan kehilangan enjin jenis GE J85-21A pesawat tempur F-5E milik TUDM yang dipercayai antara skandal penyelewengan terbesar dalam sejarah TUDM. Maklumat risikan mengesahkan enjin itu dijual ke sebuah negara di Asia Barat.

Enjin berkenaan hilang bersama rekod perkhidmatan dan penyelenggaraannya dari gudang simpanannya di Pangkalan Udara Kuala Lumpur sebaik tiba dari Skuadron Ke-12 Scorpion Butterworth. Berikutan itu TUDM membuat laporan polis dan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyiasat kejadian itu.

TUDM mula menggunakan pesawat buatan Amerika Syarikat itu pada 1974 untuk tugasan tempur dan peninjau. Bagaimanapun hanya lapan masih digunakan sehingga kini masing-masing model RF-5E Tigereye dan F-5E Tiger II yang berpangkalan di Butterworth.

Sumber berkata, modus operandi kumpulan terbabit licik kerana menggunakan taktik berbeza ketika melarikan kedua-dua enjin berkenaan, dipercayai untuk dijual sebagai komponen alat ganti di pasaran gelap, terutama kepada pembeli antarabangsa.

Katanya, kehilangan kedua-dua enjin itu dilaporkan kepada polis pada 4 Ogos 2008 selepas siasatan dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikatakan menemui jalan buntu.

Sementara itu di PUTRAJAYA, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sebagai Menteri Pertahanan ketika itu, beliau mengarahkan supaya laporan polis dibuat sebaik menyedari kehilangan enjin pesawat itu.

"Kita akan tunggu sehingga laporan penuh keluar kerana kita bekerjasama dengan polis, malah apabila kita menyedari kejadian itu, kita melaporkan kepada polis dengan segera.

"Kementerian Pertahanan berpendirian kita perlu menyelesaikan perkara ini dan mengambil tindakan sesuai walaupun tindakan jenayah terhadap mereka terbabit... bukan hasrat kementerian dan TUDM menyembunyikan apa-apa pun," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia keenam, semalam.

Kronologi kehilangan enjin pesawat tempur F-5E TUDM
26Jun 2007 - enjin pertama dihantar keluar
1November 2007 - enjin kedua dihantar keluar
Mei 2008 - enjin disedari hilang
4 Ogos 2008 - laporan polis dibuat
13 Mei 2009 - kertas siasatan dihantar kepada Peguam Negara
25 Jun 2009 - kertas siasatan dipulangkan dengan arahan untuk lengkapkan siasatan
18 November 2009 - kertas siasatan dihantar semula.









Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

Tiada niat tutup kes enjin jet TUDM hilang



Kerajaan tidak berhasrat menutup kes kehilangan enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berharga RM50 juta, kata perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia di Putrajaya hari ini.

Menurut Bernama, beliau berkata aduan polis telah dibuat apabila Kementerian Pertahanan menyedari tentang kejadian tersebut yang berlaku semasa beliau menjadi menteri berkenaan.

"Kita telah pergi kepada polis, ketika itu saya adalah menteri yang berkenaan.

"Saya membuat keputusan bahawa kita perlu membuat laporan kepada polis," beliau dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia di Putrajaya hari ini.

Sabtu lalu, menteri pertahanan mendedahkan enjin pesawat pemintas F-5E yang disedari hilang pada 2007 telah dijual kepada syarikat antarabangsa dari negara yang berpangkalan di Afrika Selatan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata syarikat antarabangsa itu dipercayai telah mengupah ejen tertentu untuk melarikan enjin pesawat bernilai RM50 juta itu ke luar negara.

Mengenai seorang brigadier jeneral yang diarah bersara berhubung kes itu tetapi pencennya dikekalkan, lapor agensi berita itu lagi, perdana menteri berkata ia bergantung kepada bentuk kesalahan yang dilakukannya dan terpulang kepada pihak TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Kita tunggu sehingga laporan penuh dikeluarkan kerana kita telah bekerjasama dengan polis," katanya.






Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

K.Rajagobal "LIVE" di Umno Orkid blog







Kepada peminat pasukan bolasepak Malaysia dan semua rakyat Malaysia.Dengarkan temubual ekslusif diantara K.Rajagobal dan krew Sinar FM secara langsung sekarang di laman blog Umno Orkid-9:26am







Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

Tun Dr Mahathir di mata seorang pensyarah Rusia



(Tun Dr.Mahathir bersama Soros,15 Dec 2006)


Ketika kemuncak krisis kewangan di Asia Tenggara pada Ogos 1998, saya berkunjung ke Kuala Lumpur atas undangan Gabungan Persatuan Penulis Nasinal (Gapena) dan julung-julung kali melihat lapangan terbang antarabangsa KLIA yang baru dirasmikan.

Saya dengan hairan berkata: "Dan anda cakap anda mengalami kemelesetan ekonomi!"

Reaksi hampir sama saya lahirkan apabila timbalan ketua setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Mohd Azmi Razak (yang kebetulan saya kenali ketika masih belajar di Universiti Malaya pada 1970-an) dengan bangga menunjukkan Kompleks Sukan Bukit Jalil yang juga baru dirasmikan menjelang Sukan Komanwel.

Dalam mendepani kegawatan ekonomi ketika itu, tentu petandanya boleh dilihat dengan jelas. Tetapi pada amnya program pembangunan negara seiring dengan Wawasan 2020 terus dilangsungkan.

Sumbangan perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad dalam hal itu tidak boleh dinafikan. Mula-mula beliau mengambil tindakan melawan spekulator mata wang dengan menetapkan kadar tambatan ringgit yang stabil dan mengehadkan pengalirannya ke luar negara.

Strategi mengatasi krisis yang disusun perdana menteri - tanpa bantuan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan pertubuhan antarabangsa lain - ternyata amat berkesan. Lebih penting, strategi itu dilaksanakan sedemikian rupa sehingga tidak merugikan program sosial dan tidak pula memberatkan kedudukan orang biasa.

Pemandu teksi yang membawa saya dari KLIA mengungkapkan: "Mahathir seorang perdana menteri rakyat. Dia mementingkan bukan diri sendiri tetapi orang yang sekarang berada dalam kesempitan, iaitu rakyat jelata".

Pastinya fenomena keperibadian Dr Mahathir akan disoroti lama lagi. Tindakan seorang yang luar biasa selalu menarik perhatian, tambahan pula kalau beliau memang pandai menemui jalan keluar dari sebarang situasi, bahkan yang sepintas lalu kelihatan buntu.

Saya ingat pada akhir tahun 1980-an apabila, sebagai akibat formaliti undang-undang, Umno yang diketuainya menjadi seakan-akan tidak wujud. Dr Mahathir dengan pantas mendaftarkan parti itu dengan nama Umno (baru).

Seorang wartawan asing pernah mencatat situasi itu seperti berikut:"Mahathir seumpama dengan orang yang terjatuh ke dalam lubang tetapi bukan saja boleh keluar dengan selamat, malah menemui di sana harta karun".

Dr Mahathir juga pernah dinamakan sebagai doktor rakyat apabila, selepas rusuhan kaum pada Mei 1969, beliau disingkirkan daripada partinya dan kembali menyambung kerja di klinik.

Ia berpunca daripada surat yang ditulisnya kepada perdana menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra dan kerajaan, dengan menimpakan tanggungjawab berhubung rusuhan kaum itu kepada mereka - bertentangan dengan pendapat umum waktu itu.

Dr Mahathir tidak boleh secara langsung mengambil bahagian dalam politik tetapi beliau tidak dilarang menulis. Dan beliau menurunkan fikiran yang paling terpendam ke atas kertas.

Mengapa orang Melayu di negaranya sendiri tidak berpeluang menjalankan kehidupan selayaknya? Apa mesti dilakukan bagi meninggikan taraf ekonomi mereka dengan tidak merugikan hak kaum lain? Bagaimana hendak mencapai kesetaraan antara kaum?

Ia membawa kepada kesimpulan bahawa, penting mengembalikan orang Melayu ke bidang pengeluaran dan perdagangan seperti mereka didesak keluar akibat dasar penjajah yang menggalakkan imigrasi pekerja dari India dan China serta membekukan hubungan patriarki di kalangan Bumiputera luar bandar.

Tetapi membuat itu tanpa sokongan kerajaan adalah tidak mungkin. Kerana itu, beliau mencadangkan orang Melayu diberi bantuan ekonomi khusus.

Dilema Melayu, buku karangan Dr Mahathir, diharamkan tetapi ia masih sempat dibaca orang. Persoalannya, apa gunanya mengharamkan buku itu apabila rusuhan kaum 1969 menunjukkan bahawa sudah tiba masanya untuk menyelesaikan masalah kemunduran orang Melayu.

Kesan-kesan rusuhan, antaranya deretan kedai yang musnah dalam kebakaran di Jalan Bangsar dan sikap berhati-hati orang Melayu dan Cina terhadap satu sama lain - masih kelihatan ketara pada 1970 apabila saya bersama sekumpulan pelajar Russia julung-julung kali datang ke Kuala Lumpur.

Di Universiti Malaya, jarang dilihat pelajar-pelajar Melayu dan Cina bergaul bersama. Mereka juga mengelak membincangkan masalah politik. Betapa seriusnya hal itu dimengertikan oleh Tunku Abdul Rahman yang memilih untuk bersara.

Langkah itu boleh ditafsirkan sebagai kerelaannya mengambil tanggungjawab atas peristiwa Mei 1969 - satu pendirian berani!

Tun Abdul Razak Hussein yang menggantikannya ternyata memiliki pandangan yang sama dengan Dr Mahathir. Beliaulah yang menyusun Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan mengukuhkan kedudukan ekonomi orang Melayu.

Pastinya allahyarham turut memerhatikan Dr Mahathir pada awal tahun 1960-an apabila beliau dipilih menjadi ahli parlimen dan dengan giat mempertahankan kedudukan orang Melayu.

Dengan bersaranya Tunku Abdul Rahman, maka Dr Mahathir mendapat peluang melaksanakan gagasannya dan kembali berpolitik secara aktif. Pada 1972, beliau diterima kembali dalam Umno dan diberi jawatan dalam kerajaan dua tahun kemudian.

Mula-mula Dr Mahathir dilantik sebagai menteri pelajaran. Pada 1976, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri dalam kabinet Tun Hussein Onn. Pelantikan ini disusuli jawatan perdana menteri pada 1981.

Peristiwa itu disifatkan pemerhati politik bukan hanya sebagai pergantian kerajaan, malah melonjakkan ahli politik generasi baru - meskipun tidak berapa muda daripada pendahulunya tetapi mempunyai asal-usul lain, penuh gagasan baru dan berazam bergiat cergas.

Lee Kuan Yew, waktu itu perdana menteri Singapura, mencatatkan bahawa di Malaysia "generasi baru daripada lapisan bawah datang ke tampuk kekuasaan'. Dan ia sememangnya benar demikian.

Dr Mahathir bukan saja menyambung dasar pendahulunya yang mahu menyatukan di sekitar Umno pertubuhan-pertubuhan politik lain, termasuk parti pembangkang, dalam rangka BN tetapi mengubah wajah negara sama sekali.

Apabila saya kembali semula ke Malaysia selepas 16 tahun, saya tidak kenal lagi negara ini. Malaysia mendekati apa yang dinamakan negeri perindustrian baru, ia berhasil merekabentuk kereta sendiri yang dieksport dan bercita-cita melancarkan seorang angkasawan ke angkasa lepas.

Tetapi saya sempat menyaksikan gejala yang lain juga. Di mana-mana, ternampak petanda pengislaman yang cergas. Perempuan Melayu mula bertudung dan berbaju kurung labuh. Kaum lelaki Muslimnya mula lebih ketat mengikuti peraturan agama.

Bermacam-macam acara keagamaan, termasuk tilawah membaca al-Quran, menyerikan kehidupan bernegara. Islam seakan-akan menjadi perisai untuk orang Melayu mempertahankan jati diri, keperibadian dan kebudayaannya.

Lembaga-lembaga kewangan Islam, termasuk bank Islam, mendapat peluang berakar kuat. Bersamaan dengan itu, kaum-kaum lain juga mendapat keyakinan terhadap masa depan.

DEB yang disusun pada zaman Abdul Razak diubahsuai sedemikian rupa sehingga tidak menjejaskan hak mereka sambil meninggikan status ekonomi bumiputera.

Bukti keberhasilan jalan yang dipilih ialah pencapaian besar dalam bidang ekonomi yang dicerminkan antara lain dengan pembinaan Koridor Raya Multimedia (MSC), Cyberjaya dan mercu tanda berprestij, Menara KL dan Menara Berkembar Petronas.

Cendekiawan dan kelompok masyarakat yang paling peka pada amnya menyokong dasar-dasar Dr Mahathir.

Bayangkan Malaysia, dahulunya negara agak kecil dan kurang dikenali, mengejutkan masyarakat dunia dengan menuntut agar benua Antartika diberi status "warisan seluruh umat manusia".

Malah, Malaysia sentiasa berada di barisan depan dalam pelbagai kerjasama antarabangsa, termasuk memerangi dadah, di samping menjadi penganjur penyatuan usaha negara membangun untuk mendapat tempat lebih dihormati di dunia.

Maka berkumandanglah suara Dr Mahathir yang mengungkapkan: "Kita lama memandang pada Barat tetapi tidak lagi menganggapnya sebagai contoh sesuai bagi kita".

Ia bukan sekadar kata-kata, sebaliknya diteruskan dengan langkah-langkah konkrit menuju ke arah terjalinnya hubungan lebih seimbang dengan negara lain, termasuk Russia.

Dasar Dr Mahathir dalam bidang kebudayaan juga lain daripada yang lain. Malaysia sebuah negara Asia Tenggara yang berjaya melaksanakan dasar bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu ditetapkan sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah dan menengah dengan pengecualian untuk penggunaan bahasa Inggeris di institusi pengajian tinggi (IPT).

Semangat patriotisme yang menjadi ciri khas masyarakat Malaysia adalah salah satu faktor lagi yang membantu Dr Mahathir mengadakan dasarnya demi kepentingan rakyat.

Namun, Malaysia juga negara yang menyaksikan kewujudan pelbagai parti politik. Dan tidak semua langkah pemimpin negara dinilai sama. Misalnya Dr Mahathir pernah dikritik kerana bertindak terhadap pembangkang pada kemuncak krisis kewangan tetapi keprihatinan beliau boleh dimengerti.

Akhirnya, kita tidak boleh tidak mengagumi cara bagaimana kerajaan Malaysia memikirkan nasib pelajar sekolah. Mereka akan hidup pada alaf baru dan, kerana itu, wujudlah satu lagi cogan kata “anak tanpa komputer ialah anak tanpa hari depan”.

Kenyataan itu bererti bahawa pada masa terdekat setiap keluarga akan menpunyai sekurang-kurangnya satu komputer.

Raja yang dilawati oleh Putera Kecil dalam karya penulis Perancis, Antoine de Saint-Exupery Le Petite Prince (Putera Kecil) pernah berkata:

"Kekuasaan patut menjadi wajar. Kalau aku memerintah rakyat untuk menceburkan diri ke laut, maka rakyat akan mencetuskan revolusi. Aku berhak menuntut kepatuhan kerana perintahku wajar".

Kini, ketika Dr Mahathir sudah bersara daripada kegiatan politik aktif, kita boleh mengambil kesimpulan bahawa dasar Dr Mahathir memang wajar. Selama 22 tahun, beliau menyusun strategi yang boleh dicapai bersandarkan kepada sokongan masyarakat terbanyak.

Dr Mahathir tidak takut mengubah dasarnya, sesuai dengan perkembangan semasa dan berpandukan kepentingan rakyat terbanyak tanpa mengambil peduli pendirian Barat.

Dan apabila beliau mundur, beliau yakin akan hari cerah Malaysia kerana penerusnya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Abdul Razak menyambungkan politik bertujuan untuk meningkat kesejahteraan rakyat.


Dr Victor A Pogadaev adalah sarjana Rusia yang kini berkhidmat sebagai profesor madya di Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya. Artikel ini disediakan bersempena dengan sambutan ulang tahun hari lahir Tun Dr Mahathir Mohamad pada 20 Disember.








Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

Monday, December 14, 2009

Malaysia benam Laos 3-1






BARISAN K Rajagobal menunaikan janji mereka apabila membawa Malaysia ke final bola sepak Sukan Sea selepas menewaskan tuan rumah, Laos 3-1, malam tadi.

Dua jaringan Baddrol Bakthiar pada minit ke-13 dan 79 serta gol Safi Rahim minit ke-85 menemukan semula Malaysia dengan Vietnam, Khamis ini, yang mengecewakan Singapura 4-1 dalam satu lagi separuh akhir lebih awal.

Pada saingan peringkat Kumpulan A, Malaysia tewas 1-3 sambil menyaksikan pemain utama seperti Zaquan Adha Abd Razak, Amirul Hadi Zainal dan Farizal Marlias digantung perlawanan.

Kali terakhir Malaysia menang pingat emas pada 1989 dan hampir saja mengulanginya pada 2001 di Kuala Lumpur, tetapi tewas 0-1 kepada Thailand.

Bagi Rajagobal sendiri, beliau mengakui barisannya adalah wira sebenar apabila menafikan Laos yang mendapat sokongan padu kira- kira 20,000 penyokong mereka di Stadium Utama, Kompleks Nasional.

“Mereka menunjukkan karektor, kali kedua saya lihat malam ini. Yang pertama ketika menyekat Thailand dengan kebangkitan mengagumkan.

“Mereka benar-benar berhak meraikan kemenangan ini. Mereka mempamer aksi menarik tanpa perlu saya banyak berteriak memberi arahan dari luar padang.

“Inilah yang saya banggakan. Mereka menunaikan janji malam ini untuk menghampiri buruan pingat emas,” katanya.

Rajagobal mengakui beliau menghadapi sedikit kesulitan menyusun pasukan kerana kehilangan ramai penyerang yang digantung perlawanan, selain kecederaan mata Zaquan Adha.

“Bayangkan dengan hanya mengharapkan Norshahrul Idlan serta pemain tengah Safiq Rahim, kami turun berdepan pasukan yang gagah di depan penyokong mereka.

“Namun atas kerjasama berpasukan, mereka berjaya menenggelamkan Laos.

“Pada pendapat saya, Malaysia seharusnya menamatkan perlawanan lebih awal tapi gol kedua lewat tiba. Apapun saya tidak ada apa- apa untuk mengkritik permainan mereka,” katanya.

Ditanya final menentang Vietnam, beliau berkata ia pasti perlawanan menarik yang amat ditunggu-tunggu pemainnya.

“Saya tahu di mana silap kita ketika tewas kepada mereka, jadi sudah pasti kali ini kami akan lebih bersedia. Malah Vietnam sendiri sudah pasti perlu lebih berhati-hati,” katanya.

Kredit Berita:Harian Metro






Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

Sunday, December 13, 2009

Teguran daripada seorang "Guru"


Salam sejahtera kepada semua pengikut setia blog Umno Orkid,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana anda sudi singgah di sini dan menjadikan blog ini sebagai teman komputer anda-"bookmark".Saya sebagai wakil kepada Media Baru Umno Cawangan Orkid,Putrajaya sangat menghargai kesetiaan anda.

Baiklah,pada kali ini saya ingin memaparkan sebuah pandangan dan teguran ikhlas daripada seorang pembaca blog ini.Beliau telah menghantarkan mesej kepada saya kerana beliau dapati blog ini agak "kehilangan berita" semenjak akhir-akhir ini.Jadi,saya rasa biarlah saya paparkan kepada umum teguran ini supaya semua jentera Umno khususnya Media Baru Umno tidak leka kerana anda perlu tahu bahawa anda sedang diperhatikan dan pergerakkan anda sedang dipantau.



Walau bagaimanapun,saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau yang sudi menegur saya dan beliau juga sebenarnya adalah bekas pensyarah UiTM Arau,Perlis,tempat saya belajar kira-kira 10 tahun yang lepas.Sebenarnya,saya bukanlah pelajar beliau semasa di kampus dahulu.Tetapi,kerana sikap tegas dan "garang"beliau menyebabkan hampir semua pelajar mengenali beliau.Beliau yang saya maksudkan ialah En.Nazri Bin Kulup Mahmud.Menurut khabar yang saya terima,jawatan terakhir beliau ialah Professor Madya tapi,saya kurang pasti dan saya akan tanyakan pada beliau nanti.Di bawah adalah "screen shot" teguran beliau kepada saya melalui Facebook.



Lebih menarik,En.Nazri tidak pernah kenal saya sebelum ini tetapi,kami berkenalan setelah 10 tahun berlalu hanya melalui Facebook.Jadi,dari sudut pandangan yang positif anda semua patut menjangkakan bagaimana berpengaruhnya kuasa internet pada masa kini.Jadi,mari kita sama-sama renungkan...adakah kita menjadi sebahagian daripada "pemain" di dalam gelanggang ini atau kita sekadar menjadi penonton..??Jawapannya ada di dalam diri anda sendiri.







Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

Saturday, December 12, 2009

Tabloid Melayu kian popular, harian merosot



Dua harian berpengaruh bahasa Melayu mencatatkan penurunan jumlah edarannya tetapi tabloid terbitan syarikat media yang sama merekodkan kenaikan, sehingga 12 peratus setahun lalu.

Jumlah edaran Utusan Malaysia menurun sehingga 8 peratus kepada 181,346 naskhah, sementara Berita Harian pula merosot 5 peratus kepada 183,187 naskhah.

Kosmo! mengalami kenaikan tertinggi sebanyak 12 peratus kepada 129,663 naskhah, manakala Harian Metro naik 4 peratus kepada 338,552 naskhah.

Kosmo! dan Harian Metro masing-masing berada satu bumbung dengan Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Laporan audit pengedaran itu – bagi tempoh 1 Julai tahun lalu hingga 30 Jun lalu – bagaimanapun menunjukkan edaran akhbar-akhbar berbahasa Malaysia mencatatkan kenaikan kecil berbanding akhbar-akhbar berbahasa Cina dan Inggeris yang mencatat penurunan.

Data itu, yang dikeluarkan Biro Audit Pengedaran (ABC) Malaysia semalam, menunjukkan jumlah edaran harian berbahasa kebangsaan meningkat 2 peratus kepada 832,718 naskhah.

Menurut data ABC, Utusan Malaysia dan Berita Harian semakin merosot jualannya perlahan-lahan sejak audit 1 Julai 2005 hingga 30 Jun 2006 – masing-masing 213,445 dan 203,704 naskhah – kecuali sedikit kenaikan pada enam bulan pertama tahun lalu.

Sementara Kosmo! dan Harian Metro pula semakin laris dalam tempoh yang sama.

Dalam segmen akhbar mingguan pula, edaran Kosmo Ahad mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 8 peratus kepada 130,375 naskhah tahun lalu, diikuti Metro Ahad dengan purata edaran sebanyak 386,795 naskhah tahun ini - meningkat 6 peratus.

Seorang ahli lembaga ABC, Adi Satria Ahmad berkata trend ini menunjukkan kuasa beli pembaca dalam segmen bahasa Malaysia masih kuat berbanding pembaca akhbar-akhbar Cina dan Inggeris.

Tambahnya, kenaikan itu turut disokong dengan kenaikan jumlah perbelanjaan pengiklan dalam akhbar-akhbar berkenaan, berbanding dalam akhbar dua bahasa itu.

Jelasnya, jumlah perbelanjaan iklan yang dilaporkan itu bagaimanapun tidak menggambarkan situasi sebenar kerana terdapat akhbar yang memberikan potongan harga kepada pengiklan dan pada masa sama menaikkan harga akhbar mereka.

"Ini kerana bukan semua akhbar bahasa Malaysia ini diaudit, seperti Sinar Harian, kerana belum sampai masa untuk diaudit," katanya ketika dihubungi Malaysiakini selepas sidang media ABC di Petaling Jaya semalam.

Sementara itu, ketika mengumumkan perangkaan terbaru itu, seorang lagi ahli lembaga ABC Tan Sio Chian berkata peningkatan jumlah pembacaan akhbar bahasa Melayu juga didorong oleh kelembapan ekonomi negara.

"Ia menunjukkan pembaca Melayu membeli lebih banyak akhbar disebabkan pengangguran (untuk cari kerja) dan mengurangkan perbelanjaan untuk kandungan hiburan," katanya.

Jelasnya, peralihan trend ini dikesan melalui penurunan 5 peratus bagi purata edaran majalah dalam segmen bahasa itu sehingga 1,015 naskhah tahun ini.

Bagaimanapun edaran majalah berbahasa Inggeris dan Cina lebih teruk terjejas, masing-masing menurun 40 peratus dan 81 peratus.

Laporan ABC itu juga menunjukan edaran keseluruhan harian berbahasa Inggeris mencatat penurunan sebanyak 2 peratus kepada purata 736,981 naskhah.

Edaran The Star merosot sebanyak 3 peratus kepada 295,479 naskhah tahun lalu, manakala New Straits Times menurun sehingga 12 peratus kepada 120,770 naskhah.

Dua lagi akhbar harian berbahasa Inggeris, The Edge dan The Sun masing-masing menunjukkan kenaikan sebanyak 7 peratus (kepada 23,369 naskhah) dan 6 peratus (287,935 naskhah).

Sementara itu, edaran akhbar-akhbar berbahasa Cina pula menurun hingga 7 peratus kepada 863,976 naskhah.MALAYSIAKINI






Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

Najib saran kod etika ber"blog"



Datuk Seri Najib Razak berkata beliau sentiasa mengatakan media baru atau Internet memainkan peranan penting kepada masa depan politik dan sivil rakyat negara ini.

Perdana menteri berkata medium itu penting bagi kebenaran didedahkan melalui laporan yang bertanggungjawab.

"Oleh sebab itu saya amat berminat bila mendapati ada satu Kod Etika Penulis Blog yang mungkin boleh diterima pakai oleh para penerbit," kata beliau dalam blognya www.1malaysia.com.my semalam.

Disiarkan dalam laman berita internet, garis panduan untuk penulis blog itu didasarkan kepada kod etika Persatuan Wartawan Profesional yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Berikut adalah beberapa petikan bahawa penulis blog hendaklah:

- Jujur dan adil dalam mendapatkan, melapor dan menginterpretasi maklumat,
- Jangan sekali-sekali menciplak,
- Mengenal pasti dan membuat pautan pada sumber apabila sesuai dan boleh dilaksanakan,
- Jangan sekali-kali menyiarkan maklumat yang diketahui tidak tepat dan jika menyiarkan maklumat yang boleh dipersoalkan, pastikan dijelaskan akan keraguan tentang maklumat tersebut,
- Bezakan antara sokongan, komentar dan maklumat berdasarkan fakta,
- Mengakui akan kesilapan dan membetulkannya dengan segera,
- Perlihatkan cita rasa yang baik. Elakkan daripada memenuhi kehendak rasa ingin tahu yang mengerikan atau sensasi,
- Jelaskan setiap misi blog dan alu-alukan dialog dengan khalayak ramai tentang kandungan dan cara pengendaliannya oleh penulis blog,
- Mendedahkan pertentangan kepentingan, penggabungan, aktiviti dan agenda peribadi,
- Mematuhi piawaian yang tinggi yang sama seperti mana yang mereka harapkan daripada pihak lain.

Najib berkata beliau mendapati piawaian seperti itu amat penting ke arah membina satu dialog yang dihormati serta produktif dan akan berusaha untuk patuh kepada piawaian itu sedapat mungkin. BERNAMA






Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com