Friday, December 4, 2009

Kritik pijak poster ADUN melarat ke Parlimen



Beberapa anggota parlimen terus membidas tiga pemimpin DAP termasuk tokoh popularnya Lim Kit Siang yang memijak poster tiga
anggota bebas DUN Perak pada Ahad lepas.

Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) berkata Lim, yang juga anggota parlimen Ipoh Timur, sepatutnya menunjukkan contoh yang baik serta memberikan nasihat kepada anggota-anggota parti.

"Saya cukup kecewa dengan Ipoh Timur kerana sebagai orang lama yang saya hormati selama ini, yang bukan lagi guru, tapi tok guru, mahaguru yang setaraf dengan Datuk Nik Aziz Nik Mat, daripada segi pengalaman politiknya, telah terikut-ikut dengan (sikap) anggota-anggota parlimen yang baru nak masuk politik," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2010
peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan.

Beliau berkata perbuatan pemimpin DAP itu boleh menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini kerana dikhuatiri mereka menganggap Malaysia berdepan dengan masalah ketidakstabilan politik.

Ismail memuji pelbagai usaha yang dilaksanakan Kementerian Pelancongan untuk menarik minat pelancong berkunjung ke negara ini meskipun dalam keadaan ekonomi yang merosot.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Seri Gading), yang mencelah perbahasan itu, berkata tindakan memijak poster itu boleh mengheret kepada pelbagai masalah lain dan boleh mencetuskan api perkauman.

Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran) pula meminta semua anggota parlimen supaya lebih berhati-hati dengan perbuatan masing-masing.

"Kadang-kadang perangai kita lagi teruk. Kita tahu untuk menarik pelancong, mesti sedia destinasi yang baik, kemudian ada budaya yang baik termasuklah tingkah laku dan sebagainya," katanya. BERNAMA






Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

No comments:

Post a Comment