BARISAN K Rajagobal menunaikan janji mereka apabila membawa Malaysia ke final bola sepak Sukan Sea selepas menewaskan tuan rumah, Laos 3-1, malam tadi.
Dua jaringan Baddrol Bakthiar pada minit ke-13 dan 79 serta gol Safi Rahim minit ke-85 menemukan semula Malaysia dengan Vietnam, Khamis ini, yang mengecewakan Singapura 4-1 dalam satu lagi separuh akhir lebih awal.
Pada saingan peringkat Kumpulan A, Malaysia tewas 1-3 sambil menyaksikan pemain utama seperti Zaquan Adha Abd Razak, Amirul Hadi Zainal dan Farizal Marlias digantung perlawanan.
Kali terakhir Malaysia menang pingat emas pada 1989 dan hampir saja mengulanginya pada 2001 di Kuala Lumpur, tetapi tewas 0-1 kepada Thailand.
Bagi Rajagobal sendiri, beliau mengakui barisannya adalah wira sebenar apabila menafikan Laos yang mendapat sokongan padu kira- kira 20,000 penyokong mereka di Stadium Utama, Kompleks Nasional.
“Mereka menunjukkan karektor, kali kedua saya lihat malam ini. Yang pertama ketika menyekat Thailand dengan kebangkitan mengagumkan.
“Mereka benar-benar berhak meraikan kemenangan ini. Mereka mempamer aksi menarik tanpa perlu saya banyak berteriak memberi arahan dari luar padang.
“Inilah yang saya banggakan. Mereka menunaikan janji malam ini untuk menghampiri buruan pingat emas,” katanya.
Rajagobal mengakui beliau menghadapi sedikit kesulitan menyusun pasukan kerana kehilangan ramai penyerang yang digantung perlawanan, selain kecederaan mata Zaquan Adha.
“Bayangkan dengan hanya mengharapkan Norshahrul Idlan serta pemain tengah Safiq Rahim, kami turun berdepan pasukan yang gagah di depan penyokong mereka.
“Namun atas kerjasama berpasukan, mereka berjaya menenggelamkan Laos.
“Pada pendapat saya, Malaysia seharusnya menamatkan perlawanan lebih awal tapi gol kedua lewat tiba. Apapun saya tidak ada apa- apa untuk mengkritik permainan mereka,” katanya.
Ditanya final menentang Vietnam, beliau berkata ia pasti perlawanan menarik yang amat ditunggu-tunggu pemainnya.
“Saya tahu di mana silap kita ketika tewas kepada mereka, jadi sudah pasti kali ini kami akan lebih bersedia. Malah Vietnam sendiri sudah pasti perlu lebih berhati-hati,” katanya.
Kredit Berita:Harian Metro
Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com
No comments:
Post a Comment