Wednesday, December 30, 2009

10 maut: Pemandu bas ekspres ke mahkamah


Seorang pemandu bas Sani Express hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Trafik Ipoh atas tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian 10 penumpang di Km 280.3 Lebuhraya Utara Selatan di Ipoh, Sabtu lalu.

Mohd Kamil Mohd Rashid, 37, beralamat Taman Setia Jaya, Yan, Kedah, yang memandu bas dua tingkat dengan nombor pendaftaran WSX 5010, didakwa melakukan kesalahan itu pada kira-kira pukul 1.23 pagi, 26 Dis lalu.

Tertuduh didakwa bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu itu, pada pukul 11.30 pagi tadi, polis mendapat perintah melanjutkan tempoh reman sehingga Khamis ini.

Bagaimanapun, pada pukul 1 tengah hari, pihak media dimaklumkan bahawa tertuduh akan didakwa pada 2.30 petang hari ini.

Mohd Kamil, yang memakai kemeja syarikat bas berwarna merah dan berseluar gelap, tiba di mahkamah pada 2.10 petang. Beliau kelihatan tenang apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya dan memohon kepada mahkamah untuk dibicarakan.

Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah menetapkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Feb depan sebagai tarikh perbicaraan.

"Ini adalah berdasarkan kepentingan awam dan lain-lain faktor. Lesen memandu tertuduh juga dirampas serta-merta sehingga kes selesai," katanya.

Sebelum itu, timbalan pendakwa raya Nurul Izalina Rajaai memohon ikat jamin RM15,000 berdasarkan faktor kepentingan awam dan lesen memandu tertuduh digantung.

Peguam tertuduh, S Arumugam dan Khairun Niza Husnin, memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu dengan alasan anak guamnya tidak pernah melakukan kesalahan trafik dan mempunyai enam orang tanggungan iaitu ibu bapa, seorang isteri dan tiga anak kecil berusia antara enam bulan dan sembilan tahun.

Mohd Kamil kemudian dibebaskan kira-kira 5 petang tadi apabila dua wakil syarikat berkenaan membayar wang jaminan tersebut. BERNAMA








Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

No comments:

Post a Comment