Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia,
Dalam kita semua sedang sibuk menguruskan persiapan untuk berhari raya dan mungkin ada yang sedang berkira-kira untuk memulakan perjalanan jauh untuk pulang ke kampung, tanpa kita sedari rupa-rupanya parti lawan iaitu PAS juga sedang sibuk mempromosikan idealogi mereka di kawasan kita.
Kali ini, pada 7/9/2010 lebih kurang jam 5:30 petang mereka tanpa berselindung telah mengedarkan akhbar Harakah dan Fikrah di kawasan umum iaitu di Putrajaya Sentral. Aktiviti mereka lebih tertumpu kepada pengguna perkhidmatan ERL dan mereka telah menunggu para penumpang yang keluar dari kaunter check-out. Apabila pengguna melepasi kaunter tersebut, mereka terus menghulurkan akhbar-akhbar tersebut.
Saya yang kebetulan berada di kawasan tersebut turut disuakan dengan akhbar tersebut dan apabila diteliti, di dalam akhbar tersebut turut tersisip risalah "Kempen Balik Kampung" yang mana antara kandungannya ialah menyentuh isu harga barang naik seperti tepung, minyak dan ayam. Di samping itu, terdapat seruan mendoakan kejayaan anak-anak yang akan menduduki peperiksaan UPSR-pass, PMR-pass, SPM-pass, dan yang tak sedapnya ada juga PRU-13-Undi PAS.
Terkandung juga 9 langkah satu persatu "bagaimana ajak orang kampung sokong PAS" yang tak tergamak saya nyatakan di sini. Sampaikan diajar bagaimana anjurkan majlis berbuka puasa dan rumah terbuka dan diselitkan dengan tayangan VCD ceramah sebelum makan...Di samping itu terdapat juga "point-point" yang menunjukkan kejayaan Pakatan Rakyat di negeri Kelantan, Kedah, Selangor, dan Pulau Pinang. Di muka akhir risalah terdapat satu ruangan khas iaitu "Kenapa PAS Pilihan Saya" yang mengandungi 15 ideologi atau dakyah yang cuba mengelirukan orang ramai.
Saya sempat mengambil beberapa keping gambar sebagai bukti kegiatan mereka dan gambar-gambar itu seperti yang saya siarkan di sini. Saya juga turut terserempak dengan saudara Zach yang turut bergegas ke situ hasil maklumat dari "Black-Shafiq". Setelah itu kami sama-sama meninjau kegiatan mereka dan boleh kami katakan aktiviti mereka disertai oleh tidak kurang dari 10 orang lelaki dan wanita. Setelah lebih setengah jam memerhatikan mereka, saya terus ke kaunter pengawal dan bertanyakan samada mereka mempunyai sebarang kebenaran untuk mengedarkan akhbar tersebut. Ini kerana saya melihat mereka begitu "aman" melakukan kerja-kerja pengedaran akhbar tersebut. Setelah saya tanyakan kepada ketua pengawal yang bertugas, barulah beliau pergi ke "kumpulan" tersebut dan selepas itu, saya dapati mereka masih lagi meneruskan pengedaran akhbar tersebut. Saya jangkakan, lebih 200 keping akhbar telah berjaya diedarkan. Mereka tanpa segan silu mengejar orang ramai dan menghulurkan akbar tersebut walaupun ada orang awam yang tidak mahu menerimanya.
Bagi saya, ini adalah satu petanda yang jelas bahawa mereka sudah bersedia menjalankan perang saraf di kawasan Putrajaya dan mempamerkan kerakusan mereka untuk merampas kawasan ini. Kita tidak tahu apa bentuk program mereka di masa hadapan dan saya tidak terkejut jika ada lagi aktiviti perang saraf yang lebih dahsyat yang akan berlaku. Para pemimpin dan ahli Umno Putrajaya perlu sedar dan bangkitlah segera sebelum terlambat. Mereka nampaknya begitu angkuh dan optimis untuk "menawan" Putrajaya kerana saya berpendapat, mereka mengidamkan kawasan kita ini dan berkira-kira untuk menakluki Putrajaya dan menjadikan kawasan ini sebagai "command centre". Bagi mereka kawasan ini sememangnya sangat strategik dan telah sedia lengkap dengan segala bentuk prasarana dan sangat sesuai untuk dijadikan pusat operasi mereka.
No comments:
Post a Comment