Showing posts with label banjir. Show all posts
Showing posts with label banjir. Show all posts

Monday, November 23, 2009

Banjir Makin Buruk Di Pantai Timur



kemaskini 12.16pm Keadaan banjir di pantai timur terutamanya di Kelantan semakin buruk apabila semakin ramai mangsa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sejak awal pagi ini berbanding semalam.

Jurucakap Pusat Kawalan Oparasi Banjir (PKOB) Negeri di Kota Darulnaim berkata sehingga 6 pagi tadi, seramai 3,019 orang dipindahkan di seluruh negeri berbanding 2,327 orang malam tadi.

Seramai 1,488 adalah dari jajahan Pasir Mas, Kuala Krai (812), Tanah Merah (401), Jeli (247), Pasir Puteh (36) dan Machang (35), katanya kepada Bernama hari ini.

Jurucakap PKOB berkata mangsa perlu dipindahkan kerana keadaan air di kebanyakan tempat menyukat banjir di negeri ini semakin meningkat dan berada di atas paras bahaya menyebabkan air melimpahi tebing.

Sehingga 9 pagi ini, paras air di Tangga Krai meningkat kepada 26.91 meter iaitu 1.91 meter di atas paras bahaya (25 meter).

Paras air di Kampung Jenob Sungai Golok pula 23.63 meter iaitu 0.13 meter di atas paras bahaya (23.50 meter) manakala paras air di Rantau Panjang pula 10.44 meter iaitu 1.44 meter di atas paras bahaya (9 meter).

Antara jalan utama yang ditutup ialah Kota Bharu - Pantai Cahaya Bulan KM4 Kampung Tikat; Pohon Tanjong-Rantau Panjang (Jalan Lama) di Km11 Kampung Siram; Jalan Rantau Panjang - Panglima Bayu di Km8.8 Kampung Kajang kerana ditenggelami air melebihi satu meter.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Di KUANTAN, mangsa banjir meningkat kepada 33 orang selepas dua penempatan di Kampung Darat Sungai Ular dan Kampung Chendor Tengah di sini dinaiki air.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Pahang berkata seramai 24 orang di Kampung Darat Sungai Ular ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Cherating manakala sembilan orang dari Kampung Chendor Tengah ditempatkan di balai raya kampung berkenaan.

"Pemindahan itu hanya melibatkan daerah Kuantan, tiada pemindahan dan penutupan jalan dilaporkan berlaku di daerah-daerah lain setakat ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan itu bertambah mulai kira-kira 6.30 petang semalam.

Tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku, katanya.

Di KUALA TERENGGANU, banjir gelombang kedua semakin buruk apabila jumlah mangsa terus meningkat dengan mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sehingga 9 pagi ini bertambah kepada 9,062 orang berbanding 5,641 orang petang semalam.

Jumlah mangsa dipindahkan di daerah Hulu Terengganu ialah seramai 1,737 orang, Besut (1,094), Setiu (1,189), Dungun (2,029), Marang (1,376) dan Kemaman (1,637).

Jurucakap Majlis Keselamatan Negera Terengganu berkata jumlah pusat pemindahan yang dibuka di Terengganu setakat ini ialah 120.

Selain itu, jalan utama iaitu Jalan Sungai Tong-Kuala Berang ditutup kepada semua kenderaan kerana jalan berkenaan dinaiki air sedalam antara 0.6 meter dan 1.2 meter pagi ini manakala Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi, dekat Kampung Durian Kasim, ditutup satu lorong kerana tebing jalan runtuh.

Sebanyak 27 jalan di daerah-daerah yang dilanda banjir turut ditutup sama ada kepada kenderaan berat atau ringan.

Lima jalan di Hulu Terengganu ditutup manakala di Marang (enam), Setiu (empat), Dungun (dua), dan masing-masing lima di Besut dan Kemaman.

Jurucakap itu berkata setakat ini tiada laporan mengenai kejadian tidak diingini akibat banjir berlaku di Terengganu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri pula melaporkan paras air sungai-sungai utama di negeri ini kebanyakan surut sedikit.

Paras Sungai Besut di Kampung La, yang semalam melepasi paras bahaya, telah surut ke tahap waspada setakat 9 pagi ini.

Kedudukan paras air di sungai itu kini ialah 18.7 meter berbanding tahap bahaya 19.2 meter.

Sungai Nerus di Ibu Bekalan juga semakin surut dan kini berada di paras amaran 97.95 meter manakala di Kampung Langkap, bacaan air turun kepada 21.49 meter.

Bagaimanapun, jurucakap itu berkata paras air di beberapa tempat di sungai Dungun dan Marang masih lagi pada tahap bahaya akibat air pasang dan hujan lebat. BERNAMA






Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

Banjir Di Kelantan & Terengganu Semakin Buruk



Keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan semakin buruk petang ini, di mana di Terengganu kesemua daerah di negeri itu dinaiki air kecuali di Kuala Terengganu.

Sementara jalan pantai dari Kuala Terengganu ke Kota Baharu telah dinaiki air sedalam 0.5 meter dan ditutup kepada kenderaan ringan petang ini.

Jumlah jalan di negeri itu yang ditutup kepada kenderaan berat dan ringan kini meningkat kepada 28 iaitu Hulu Terengganu (10), Marang (lapan), Setiu (lima), Besut (tiga) serta Dungun (dua).

Sementara itu, jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di kedua-dua negeri itu meningkat kepada 4,627 orang di Terengganu berbanding 2,309 pada pagi tadi, manakala 1,644 mangsa di Kelantan berbanding 793 orang pada sebelah pagi.

Manakala keadaan di Pahang dan Perak tidak banyak perbezaan berbanding pagi tadi di mana di Pahang hanya 22 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir, dan di Perak pula mangsa di pusat pemindahan kekal kepada 824 orang.

Di KUALA TERENGGANU, jurucakap Majlis Keselamatan Negara Terengganu berkata peningkatan jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan pada petang ini meningkat dengan mendadak berbanding pagi tadi berikutan beberapa kawasan di kesemua daerah di negeri itu telah dinaiki air kecuali di Kuala Terengganu.

Di Hulu Terengganu seramai 1,313 mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan pada petang ini berbanding 595 pada pagi tadi.

egitu juga di Kemaman sebanyak 1,122 mangsa berbanding 711 pagi tadi, Setiu 478 (330), Dungun 560 (138), Besut 894 (516) dan Marang 251 (19)," katanya kepada Bernama.

Jurucakap itu berkata sebanyak 85 pusat pemindahan setakat ini dibuka di seluruh negeri iaitu Hulu Terengganu (25), Marang (enam), Dungun (sembilan), Setiu (11), Besut (17) dan Kemaman (17).

Bacaan paras air Sungai Berang di Hulu Terengganu, Sungai Marang dan Sungai Dungun, masing- masing telah meningkat ke paras bahaya pada petang ini.

Di Sungai Berang, paras air di Pengkalan Ajal mencatatkan 17.20 meter (bahaya 16 meter), Sungai Marang di Pengkalan Berangan (14.09 meter dan bahaya 13.70 meter), Sungai Dungun di Kuala Jengai, (20.47 meter dan bahaya 19.80 meter) dan Kemaman di Batu Putih mencatat bacaan 4.30 meter (bahaya 3.20 meter).

Jurucakap itu berkata paras air di Sungai Setiu dan Sungai Nerus juga masih berada di peringkat bahaya, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Di KELANTAN jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Negeri berkata mangsa banjir yang terlibat adalah 724 penduduk di jajahan Pasir Mas, Kuala Krai (635), Tanah Merah (264), Pasir Puteh (36) dan Machang (empat orang).

Katanya jalan utama Persekutuan yang menghubungkan Kelantan ke Terengganu, Kota Baharu ke Gua Musang dan Gerik ke Jeli masih boleh dilalui kenderaan ringan, manakala jalan utama yang hanya boleh dilalui kenderaan berat adalah Jalan Kota Baharu ke Kuala Krai di Kampung Sungai Durian, Batu Lapan dan Jalan Rantau Panjang ke Panglima Bayu.

"Paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang dilaporkan semakin meningkat naik melepasi paras bahaya iaitu di Jenob 24.66 meter (bahaya 23.50 meter) dan Rantau Panjang 10.44 meter (bahaya 9 meter)," katanya.

Paras air Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dan Tangga Krai di Kuala Krai serta Tualang, Gua Musang juga kini melepasi paras bahaya iaitu di Kusial 17.85 meter (bahaya 16 meter), Tangga Krai 26.12 meter (bahaya 25 meter) dan Tualang 35.40 meter (bahaya 35 meter).

Penduduk Kota Baharu juga diingatkan supaya berwaspada berikutan bacaan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja kini mencecah 4.80 meter (bahaya lima meter).

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan sehigga kini dan keadaan di Kelantan masih mendung dengan sesekali hujan lebat dilaporkan.

Di KUANTAN, sehingga 5 petang ini 22 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di pusat pemindahan banjir negeri itu selepas rumah mereka di Kampung Sungai Ular dinaiki air, kata jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Pahang.

"Pemindahan itu hanya melibatkan Kuantan, tiada pemindahan dilaporkan berlaku di daerah-daerah lain setakat ini," katanya.

Di IPOH, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Kerian berkata mangsa banjir masih ditempatkan di empat pusat pemindahan banjir di daerah itu iaitu Sekolah Kebangsaan Bagan Serai, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bagan Serai, Sekolah Kebangsaan Matang Buluh dan SJKT Simpang Lima.

"Kampung-kampung yang masih dilanda banjir adalah Ladang Sungai Bogak, Ladang Sungai Kerian, Kampung Euw Sing dan Kampung Parit Simpang Lima. Ia dinaiki air lebih satu meter akibat limpahan empangan Kolah Bukit Merah dan Sungai Beriah kerana hujan berterusan sejak 10 hari lepas," katanya. - Bernama







Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com