Showing posts with label PKPIM. Show all posts
Showing posts with label PKPIM. Show all posts

Saturday, January 9, 2010

NGO desak polis siasat Herald


Sebuah persatuan pelajar Islam hari ini membuat laporan polis mendesak siasatan dibuat terhadap penerbit mingguan Herald berhubung motifnya menggunakan perkataan Allah dalam akhbar Katholik itu.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) membuat aduan itu di balai polis Jalan Dang Wangi selepas ia bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berdemonstrasi berhubung isu 'Allah' itu di Kampung Baru, selepas solat Jumaat.

Naib Presiden PKPIM Abu Kasim Nur Azmi, ketika dihubungi, mendakwa terdapat unsur niat jahat (mala fide) dalam penggunaan kalimah tersebut di penerbitan tersebut.

Herald mencabar larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di mahkamah awal tahun lalu. Pada 31 Disember lalu, mahkamah memutuskan media itu berhak menggunakan 'Allah' tetapi keputusan itu mencetuskan kontroversi luar biasa sepanjang minggu ini.

Dalam aduannya, Abu Kasim berkata kebebasan beragama dalam perlembagaan Malaysia juga menyebut bahawa ia mesti dijalankan dalam keadaan aman dan harmoni seperti termaktub pada Perkara 11 (4) yang menyentuh mengenai kebebasan beragama dan Perkara 3, Islam sebagai agama persekutuan.

Bersama setiausaha agung Abim, Muhamad Raimi Abdul Rahim, aduan polis tersebut dibuat kira-kira jam 3.30 petang.

Sebelum itu, lebih kurang 2 petang sekumpulan 50 penyokong dan pemimpin NGO Islam berkumpul kira-kira 20 minit di masjid Kampung Baru untuk membantah penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan itu.

Selain PKPIM dan Abim, NGO lain yang menyokong tujuh tuntutan 'Deklarasi Keharmonian Hubungan Antara Agama' termasuklah Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Ikatan Muslimin Siswazah (ISMA) dan Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim).

Dalam perhimpunan tersebut, Muhamad Raimi membaca deklarasi tersebut, yang disokong oleh 50 NGO Islam, antara mendesak berharap isu 'Allah' “diselesaikan di luar mahkamah.”

Kes antara Herald dengan KDN kini menunggu proses rayuan selepas mahkamah menangguhkan keputusan awalnya.

Kumpulan NGO itu juga turut mendesak "penganut agama lain tidak mempertikaikan kemuliaan dan keagungan Allah baik dari sudut nama dan sifatnya, kemulilaan Rasulullah dan risalah yang dibawanya".

"Penganut agama lain menghormati segala syiar Islam yang meliputi perlakuan dan ibadah, tempat-tempat suci, pakaian dam juga perlambangan," dokumen itu dipetik.

Dalam ucapannya di situ, Muhamad Raimi berkata pihaknya membuat bantahan tersebut bukan untuk mencabar keputusan mahkamah, sebaliknya “untuk menzahirkan hasrat, sentimen dan kegusaran umat Islam.”

Perhimpunan yang berlangsung dalam perkarangan masjid dikawal kira-kira 20 anggota polis dan diperhatikan kira-kira 100 orang yang selesai menunai solat Jumaat.

Peserta demonstrasi melaungkan slogan "Agama kamu, agama kamu; Agama kami, agama kami", "Hidup Islam" dan “Kami Sayang Kalimah Allah" beberapa kali diselangi dengan laungan takbir.

Mereka juga menayangkan beberapa sepanduk, antaranya, bertulisan "Jangan cabar Islam", dan "Jangan cabar toleransi Islam".







Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com

Wednesday, January 6, 2010

PKPIM lancar kempen implikasi isu 'Allah'


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) melancarkan gerakan kempen kesedaran secara besar-besaran di setiap peringkat masyarakat, khususnya generasi pelajar dan mahasiswa, mengenai implikasi kes kalimah Allah terhadap Islam di Malaysia.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tujuan utama gerakan itu - yang dikenali sebagai GKK-PKPIM - ialah untuk meningkatkan kesedaran dan menerapkan kefahaman Islam sebenar serta merungkaikan kekeliruan ekoran implikasi kes tersebut.

Menerusi platform ini, katanya, PKPIM akan menggerakkan beberapa siri program kesedaran seperti forum dan wacana ilmiyah, diskusi umum, pengedaran risalah, penerbitan makalah dan poster kesedaran, serta munajat perdana.

"Gerakan ini akan digerakkan ke seluruh negara dengan mensasarkan para pelajar dan mahasiswa secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad berkata, gerakan mendapat dokongan lebih 20 persatuan pelajar yang turut disertai 13 badan gabungan negeri PKPIM dan kelab-kelab mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

"PKPIM berharap agar gerakan kempen kesedaran ini dapat menanam kesedaran generasi muda terhadap kes ini, seraya merungkaikan kekeliruan dan salah tanggap yang melingkari persoalan aqidah dan teras kepercayaan umat Islam.

"Atas rasa tanggungjawab, PKPIM menyeru lebih banyak pihak tampil memberikan sokongan untuk menjayakan gerakan ini," tambahnya.

Dalam pada itu, PKPIM mendesak semua pemimpin Melayu Islam dalam semua parti politik - Umno, PAS dan PKR - duduk semeja bersepakat dan menyatakan pendirian bersama untuk mempertahankan Kalimah Allah.

"PKPIM bersedia menjadi NGO yang berperanan sebagai pihak ketiga untuk menghubungkan ketiga-tiga parti politik," katanya.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan "Allah" digunakan dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald.

The Herald yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah penggunaan kalimah "Allah" dalam seksyen Bahasa Malaysia, sebagai terjemahan kepada perkataan God.

Perkataan "Allah" digunakan secara meluas di kalangan suku kaum beragama Kristian di Sabah dan Sarawak, yang sebahagian besarnya bertutur dalam Bahasa Malaysia.

Sebelum ini, KDN melarang penggunaan perkataan 'Allah' oleh bukan Islam bagi mengelak wujud salahfaham dan kekeliruan di kalangan orang Islam.







Blok 6F,Fasa 5&6,
Presint 9,
Putrajaya,MALAYSIA
umno.orkid@gmail.com